Saturday, 24 December 2011

Misteri Kambing Jadi-Jadian


Jamsul menggosok-gosok rambut beserta kulit kepalanya dengan kasar. Ditarik ke belakang, digaru ke kiri, direntap ke kanan, kemudian dihambur ke hadapan. Rambut-rambut gugur milik Jamsul bertaburan diatas meja plastik warung Kak Senah Kebaya yang beralaskan tikar getah corak petak bewarna biru air laut. Dirapat-rapat dan didekat-dekatkannya. 

     “Satu, dua, tiga, empat, lima, enam, tujuh, lapan, sembilan, sepuluh, sebelas, dua belas. Dua belas semuanya” bilang Jamsul mengira jumlah helaian rambutnya yang gugur. Begitulah rutin harian Jamsul setiap pagi di warung Kak Senah Kebaya sebelum dia memesan minuman sebagai sarapan paginya. Jumlah dua belas helai rambut yang gugur merupakan satu pencapaian cemerlang buat Jamsul kerana biasanya sebelum ini helaian yang luruh kadang-kala melebihi angka dua puluh. Bukan sebab makanan tambahan, magnesium glutamat misalnya. Bukan. Itu bukan penyebab utama. Yang menjadi sebab musabab ialah datuk-nenek Jamsul sendiri. Arwah bapaknya Haji Bakarus, belum pun mencecah usia pencen dari Polis Di Raja Malaysia, kepala beliau sudahpun membawa imej bukit yang sudah gondol. Ditambah pula dengan cahaya terang dari lampu spot light dari dahi depan. Sudah cukup untuk orang kampung menggelarnya Bakarus Matahari. Cerah masa depan kata mereka. Kini, anak tunggal beliau pula yang mewarisi anugerah sedemikian setelah berangkatnya beliau ke Rahmatullah. 

     “Jamsul, kau nak minum apa?” pekik Kak Senah Kebaya dari belakang warung sebaik sahaja selesai urusan pengiraan rerambutnya. 

     “Macam biasa Kak Senah” sahut Jamsul. 

     “Macam biasa tengkorak engkau Jamsul. Kau tiap hari kat sini mana ada yang tetap. Tiap hari kau pesan minum lain-lain” balas Kak Senah kembali. Ada betulnya kata Kak Senah. Jamsul bukan macam pelanggan lain yang hanya setia pada satu-satu jenis minuman sahaja. Kopi Jantan misalnya. Tidak bagi Jamsul. Minuman yang dipesan kadang-kadang teh o, kadang-kadang teh tarik, ada juga masanya dia pesan milo suam, tidak kurang juga bila datang bengongnya dia akan pesan minuman sejuk di pagi hari. Teh O Ais Tembikai misalnya... 

     “Oh, ye ke. Kalau macam tu bagi saya Nescafe Ais Laici la Kak Senah” jawab Jamsul mengesahkan pesanannya secara serius menunjukkan kepada umum yang saat bengong sudah masuk ke dalam kepalanya untuk detik ini. Paling kurang sekali dalam seminggu penyakit biul tu akan datang dengan sendiri ke dalam diri Jamsul tanpa perlu bersusah payah mencarinya. 

     Sementara menunggu air siap, Jamsul mengangkat tudung saji di hadapannya. Terhidang di bawahnya beberapa jenis kuih. Karipap sejuk, kuih lapis dan kek pisang ternyata ada. Dicapainya kek pisang sebesar penumbuk bayi 4 bulan setengah itu lalu disuap sekali gus ke dalam mulut mungilnya. Umum mengetahui bahawa Jamsul memang minat sangat dengan kek pisang. Malah, segenap lapisan masyarakat Kampung Tirok Muda sudahpun mengetahui secara jelas yang Jamsul merupakan ahli seumur hidup Persatuan Penggemar Kek Pisang (PERPENGKESANG) cawangan Pantai Timur Malaysia. Malah, dalam Facebook pun, Jamsul adalah antara orang yang bertanggungjawab membina muka surat atau page PERPENGKESANG yang kini sudahpun menerima Like sebanyak 725726 dari pengguna-pengguna Facebook, jauh sudah melebihi jumlah Like yang diterima oleh Najwa Latif yang popular dengan lagu Cinta Muka Buku. Buku teks ke buku bank, itu tidak dapat dipastikan kesahihannya. 

     Nun dari kejauhan sana kelibat Pak Kassim terkocoh-kocoh datang dengan muka yang agak risau secara serius. Entah apa yang sedang dirisaukan oleh beliau merupakan satu persoalan yang ingin segera diselesaikan oleh kaki warung yang sedang bersantai di warung Kak Senah ketika ini. 

     “Apa hal nya Pak Kassim? Macam ada masalah aje” tegur si Leman Panjang. Panjang si Leman bukanlah terletak pada tubuh badannya. Bukan juga terletak pada akal fikirannya. Panjang gelaran diberi hanya kerana telinganya panjang sebelah kanan. Panjang berjuntai ke bawah seperti orang-orang Afrika menindik telinga dengan menggantung logam-logam berat. Menurut cerita orang tua, teling Leman panjang sebelah adalah bahana mesin pemerah tebu. Kurang pasti kesahihan ceritanya tetapi yang banyak tersebar diseantero komuniti kampung Tirok Muda ialah versi Leman ditarik mesin tersebut semasa dia cuba mendengar bunyi mesin itu secara dekat. Telinga didekatkan dengan mesin sebab kawan-kawan Leman masa tu duk bercerita yang dalam mesin tu ada jembalang. Itu sebabnya batang tebu yang keras tu boleh tiba-tiba bertukar jadi air. Bingai tahap dewa agaknya, itu yang dia tekapkan telinga untuk mendengar jampi serapah hantu jembalang tanah yang ada dalam mesin tersebut. Sudahnya, sampai ke abad ke 21 ini, telinganya masih kekal berkeadaan begitu. Kesian. 

     “Kambing ! Kambing kau Leman”, Pak Kassim masih termengah-mengah mahu menyampaikan berita sensasi. Terhalang pula oleh cungap-cungap nafas mencari segumpal oksigen. Berebut-rebut. Lidah nak cakap, hidung pun nak oksigen. Tak reti nak bersabar agaknya. 

     “Kenapanya ngan kambing saya Pak Kassim?”. Leman cuba menjalanpintaskan berita sensasi hiburan terkini yang mahu disampaikan. Tidak mahu memberi sebarang ruang untuk iklan agaknya. 

      “Kambing kau. Kambing kau Leman. Kambing kau dah hilang !!!..”


-----------------------------------------------------------------------------
Arghhh, takde idea dah wa nak merapu. Wa sambung lain kali lah cerpen tahap lutut ni.

3 comments:

  1. hurm..pastikan cerita ni ada 120 episod eh..bia cm sinatron tau telenovela..

    ReplyDelete
  2. wa wat drama la nanti.. makesure lu kene tengok setiap episod... untung2, lu wa ambik jadi pelakon tambahan... watak sesuai, mungkin watak makcik2 kampung yg mengumpat kat kedai runcit.. kihkihkih....

    ReplyDelete
  3. pergh da lama tak bersastera..

    ReplyDelete